Melalui konsep penterjemahan yang dikemukakan oleh Catford (1965), Nida (1964) dan Newmark (1981), dapatlah disimpulkan bahawa penterjemahan sebenarnya ialah kerja mencari padanan yang paling tepat dan sesuai dengan makna asalnya bagi kata-kata dalam teks sumber agar makna asalnya berjaya disampaikan kepada pembaca teks sasaran.
Dalam proses melakukan terjemahan,mencari padanan yang betul-betul tepat antara dua bahasa dianggap sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.Terdapat tiga jenis padanan terjemahan iaitu padanan formal,padanan dinamis dan padanan sejadi yang terdekat.
Apa itu padanan formal?
- Penterjemah berusaha sedaya upaya menghasilkan semula bentuk dan isi secara literal dan menepati makna sebagaimana yang diniatkan oleh penulis asal.
- Penterjemah akan menghasilkan semula beberapa elemen formal termasuk unit tatabahasa, keselarian dalam penggunaan perkataan dan pengekalan makna mengikut konteks bahasa sumber.
- Kesannya, hasil terjemahan kelihatan janggal, tidak membawa makna atau hilang keaslian terjemahan, kerap kali memerlukan nota kaki utk lebih difahami.
- Keadaan menjadi sukar kalau pembaca sasaran tidak mempunyai pengetahuan asas tentang bahasa sumber.
Sekarang,mari kita mengenali pula maksud padanan dinamis.
- Penterjemah tidak terikat dengan bentuk teks asal.
- Hasil terjemahan mempunyai bentuknya yang tersendiri.
- Lebih cenderung kepada bentuk dan struktur bahasa sasaran.
- Padanan dinamik memberi impak yang jelas – ketepatan sesuatu mesej dalam konteks tertentu tidak hanya bergantung pada pencarian padanan formal yang melibatkan unsur-unsur bahasa sahaja, tetapi pengolahan dan penyesuaian hasil terjemahan mengikut struktur dan budaya bahasa sasaran juga penting.
Dan,jenis padanan yang terakhir ialah padanan sejadi yang terdekat.
- Padanan yang sejadi dirumuskan sebagai hasil terjemahan apabila dibaca seolah-olah ia ditulis dalam bahasa sasaran dan tidak terikat dengan bentuk-bentuk bahasa sumber, bahkan terdapat pembaharuan terhadap unsur-unsur lama atau klasik.
Kesimpulannya,jika terdapat masalah untuk mencari padanan yang terdekat dan sejadi, terutamanya dari sudut makna, maka penterjemah seharusnya bertindak mencari padanan yang sesuai dengan kehendak pembaca sasaran.
Sekiranya padanan itu sukar dicari, dia perlu bertindak positif dengan mencari kaedah-kaedah tertentu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Apa yang diharapkan ialah hasil terjemahan seharusnya tidak berbau terjemahan apabila dibaca tetapi seolah-olah ditulis terus ke dalam bahasa sasaran.
No comments:
Post a Comment