Showing posts with label sukatan pelajaran. Show all posts
Showing posts with label sukatan pelajaran. Show all posts

Tuesday, June 11, 2013

LARAS-LARAS BAHASA

Seperti yang kita tahu,bahasa mempunyai banyak pelbagai laras yang dikaitkan dengan kesesuaian dengan bidang dan situasi bahasa atau konteks pengucapan.

Laras bahasa boleh ditakrifkan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang yang  digunakan oleh sesuatu wacana.

Contohnya, laras bahasa doa, khutbah dan upacara.

Laras dipengaruhi oleh latar, penutur, peserta dan tujuan.
Laras juga dipengaruhi oleh ciri-ciri linguistik.
Contoh: Aspek ayat (spt: ayat aktif dan ayat pasif), aspek bunyi, dan aspek perkataan akan menghasilkan laras yang berbeza.

Berikut adalah contoh-contoh laras bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian kita.

1) Laras Bahasa Perniagaan

Mempengaruhi penguna untuk membentuk tanggapan tertentu , atau mengubah sikap dan melakukan tindakan. Digunakan dalam iklan, tender, laporan dan sebagainya , disokong pula oleh gambar, lukisan, grafik, ilustrasi dan sebagainya.

Iklan dapat dihasilkan dengan beberapa cara seperti berikut:  

(a) Slogan: Kami Ada Cara
CONTOH IKLAN
(b) Kaedah Pernyataan: Rumah Untuk Dijual/Disewa
(c) Perkaitan Konsep: Artis X dengan Tilam Jenama Y
(D) Perisytihran: Waja dengan Aksesori Lengkap
(e) Kaedah Umpan: Beli Satu, Percuma Satu
(f) Mesra: Keutamaan Kami Adalah Pelanggan.
(g) Bandingan: Bateri X Lebih Berkuasa dan Tahan Lama
(h) Gesaan: Cepat! Cepat! Datanglah Beramai-ramai
(i) Pertanyaan: Sakit Pinggang? Sapulah Dengan Minyak Angin Z.

2) Laras Bahasa Akademik
  • Meliputi pelbagai bidang seperti sains, teknologi, komunikasi, matematik dan sebagainya yang terletak dalam ruang lingkup pendidikan.
  • Bersifat teknikal.
  • Dalam penulisan ilmiah, misalnya penulisan tesis, penulis perlu mengikut format tertentu seperti perlu ada catatan bibiliografi (rujukan), nota kaki di bawah muka surat atau nota hujungan di penghujung setiap bab.
  • Menggunakan istilah-istilah yang khusus kepada bidang, dan biasanya perlu dihafal. Contohnya ialah fotosintesis, pecutan, pendebungaan dan sebagainya.
3) Laras bahasa media
  • Berita sebagai satu wacana mempunyai struktur teks yang tersendiri, lain daripada struktur teks cereka, dan lain pula daripada struktur teks esei dan karya ilmiah.
  • Wartawan atau pengarang akhbar menggunakan bahasa untuk menjelaskan sesuatu menurut cara yang paling mudah diterima sesuai dengan selera sebilangan besar pembaca akhbar.
  • Tiga ciri penting yang harus ada dalam berita akhbar yang baik ialah, pertama, bahasa yang digunakan mudah. kedua, gaya tulisan yang jelas dan ketiga, isi tulisan mestilah tepat. Oleh sebab akhbar diterbitkan untuk orang ramai, maka bahasa akhbar haruslah sesuai dengan bahasa kegunaan orangr amai.
  • Ayat yang panjang, mengandungi beberapa klausa, menggunakan petikan, metafora, kiasan, istilah teknik, dan sebagainya haruslah dielakkan.
4) Laras Bahasa Sastera
  • Memperlihatkan gaya bahasa yang menarik dan kreatif.
  • Bahasanya boleh dalam bentuk naratif, deskriptif, preskriptif, dramatik dan puitis.
  • Beberapa ciri bahasa sastera:
a. kreatif dan imaginatif: kabur mesej

b. mementingkan penyusunan, pengulangan, pemilihan kata
c. puitis dan hidup,: monolog, dialog, bunga-bunga bahasa dan sebagainya.
d. menggunakan bahas tersirat: perlambangan, kisan, perbandingan, peribahasa, metafora, simile, personifikasi, ilusi, ambiguiti dan sebagainya.
e. terdapat penyimpangan tatabahasa atau manipulasi bahasa.

5) Laras Bahasa Agama
  • Mengandungi istilah agama daripada bahasa Arab
  • Struktur ayatnya banyak dipengaruhi struktur bahasa Arab
  • Diselitkan dengan petikan daripada al-Quran dan hadis.
6) Laras bahasa undang-undang
Teks yang berkaitan dengan perundangan.
Mengandungi prinsip undang-undang dan berkait dengan akta – terbahagi kepada bahagian dan seksyen.
Menggunakan istilah undang-undang dan istilah yang dipinjam daripada bahasa Inggeris.
Makna kosa yang digunakan berdasarkan interpretasi.
 7) Laras ekonomi
-Berbentuk ilmiah.
-Istilah-istilah teknikal.
-Tidak mementingkan struktur ayat.
-Bersifat formal.
-Mementingkan susunan maklumat yang disampaikan dengan jelas dan eksplisit .

Setiap fakta dapat dihuraikan berdasarkan bukti dalam bentuk data dan statistik.

8) Laras bahasa sukan
-Maklumat berkait dengan kegiatan sukan
-Bahasanya ringkas, bersahaja dan jelas
-Menggunakan istilah sukan dan bahasa/kosa kata yang mudah difahami

sesungguhnya mengetahui laras sesuatu bahasa adalah sangat penting bagi seorang penterjemah....untuk menghasilkan karya terjemahan yang sejadi bukan terdekat semata-mata....hehehe....

MOOD EXAM SUDAH MENJELMA!

Sunday, June 9, 2013

Jenis Terjemahan Bahagian 2

Salam alaik..

Sambungan di bawah tajuk yang sama sebelum ini.Kali ini,saya ingin berkongsi tentang beberapa teori yang kami pelajari ketika kuliah.

Menurut Roman Jacobson (dlm Nida, 1964: 3), terjemahan terbahagi kepada tiga iaitu intralingual,interlingual dan intersemiotik.

1. Apa itu terjemahan intralingual?
Dilakukan di dalam & berkenaan dgn satu bahasa tertentu sahaja, iaitu penterjemahan variasi-variasi bahasa yg terdapat dlm bahasa itu.

Contoh:
  • Dialek ke dialek yg lain. Contoh: hang dalam dialek utara kepada mung dalam dialek Terengganu.
  • Dialek ke bahasa baku atau sebaliknya. Contoh: hang,mung, dalam dialek kepada kamu,awak dalam bahasa baku.
  • Bahasa kasar ke bahasa halus dsbnya. Contoh:datang haid dalam bahasa kasar kepada datang bulan dalam bahasa halus.

Contoh  penterjemahan bahasa baku ke dialek Perak dan Kelantan:


a) Kata ganti nama diri

Bahasa standard         Dialek Perak      Dialek Kelantan
        saya                         təman                 ambo
        awak                          mikə                   mu

b) Fonologi

Bahasa standard         Dialek Perak       Dialek Kelantan
        ular                           ulo                        ula
       beras                        bəgheh                 bəghah
       makan                       makan                   make

c) Kosa kata

Bahasa standard        Dialek Perak        Dialek Kelantan
     pepatung                  cakcibo               putiŋ  bəliuŋ 
   pergi kenduri            pərgi paŋgil               makə gula



2. Terjemahan interlingual pula bermaksud terjemahan daripada satu bahasa ke bahasa lain yang sama sekali berbeza dari segi sifat, karakter dan strukturnya.

Contoh:

Terjemahan daripada bahasa Melayu ke bahasa Arab. 
Contoh: Doktor memeriksa pesakit kepada   الطبيبة تفحص المريضة

3. Terjemahan intersemiotik pula ialah daripada suatu bentuk sistem simbol atau sistem tanda ke dalam suatu bahasa atau ke dalam bentuk lainnya.

Contoh:
  • Pergerakan tangan polis trafik diterjemahkan ke bentuk kata-kata.
  • Terjemahan kod-kod tertentu ke dalam bentuk bahasa.
  • Bahasa lisan atau tulisan dipindahkan ke bentuk kod-kod tertentu.
  • Bahasa isyarat dipindahkan ke bentuk bahasa lisan atau tulisan.

Contoh simbol di jalan raya







Padanan Terjemahan

Melalui konsep penterjemahan yang dikemukakan oleh Catford (1965), Nida (1964) dan Newmark (1981), dapatlah disimpulkan bahawa penterjemahan sebenarnya ialah kerja mencari padanan yang paling tepat dan sesuai dengan makna asalnya bagi kata-kata dalam teks sumber agar makna asalnya berjaya disampaikan kepada pembaca teks sasaran.

Dalam proses melakukan terjemahan,mencari padanan yang betul-betul tepat antara dua bahasa dianggap sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.Terdapat tiga jenis padanan terjemahan iaitu padanan formal,padanan dinamis dan padanan sejadi yang terdekat.

Apa itu padanan formal?
  • Penterjemah berusaha sedaya upaya menghasilkan semula bentuk dan isi secara literal dan menepati makna sebagaimana yang diniatkan oleh penulis asal.
  • Penterjemah akan menghasilkan semula beberapa elemen formal termasuk unit tatabahasa, keselarian dalam penggunaan perkataan dan pengekalan makna mengikut konteks bahasa sumber.
  • Kesannya, hasil terjemahan kelihatan janggal, tidak membawa makna atau hilang keaslian terjemahan, kerap kali memerlukan nota kaki utk lebih difahami.
  • Keadaan menjadi sukar kalau pembaca sasaran tidak mempunyai pengetahuan asas tentang bahasa sumber.

Bahagian atas:Novel Harry Potter versi asal dalam bahasa Inggeris
Bahagian bawah:Novel Harry Potter yang telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu
Pendapat saya,hasil terjemahannya kelihatan janggal dan kaku dan agak sukar difahami.

Sekarang,mari kita mengenali pula maksud padanan dinamis.
  • Penterjemah tidak terikat dengan bentuk teks asal.
  • Hasil terjemahan mempunyai bentuknya yang tersendiri.
  • Lebih cenderung kepada bentuk dan struktur bahasa sasaran.
  • Padanan dinamik memberi impak yang jelas – ketepatan sesuatu mesej dalam konteks tertentu tidak hanya bergantung pada pencarian padanan formal yang melibatkan unsur-unsur bahasa sahaja, tetapi pengolahan dan penyesuaian hasil terjemahan mengikut struktur dan budaya bahasa sasaran juga penting. 
Dan,jenis padanan yang terakhir ialah padanan sejadi yang terdekat.
  • Padanan yang sejadi dirumuskan sebagai hasil terjemahan apabila dibaca seolah-olah ia ditulis dalam bahasa sasaran dan tidak terikat dengan bentuk-bentuk bahasa sumber, bahkan terdapat pembaharuan terhadap unsur-unsur lama atau klasik.
Kesimpulannya,jika terdapat masalah untuk mencari padanan yang terdekat dan sejadi, terutamanya dari sudut makna, maka penterjemah seharusnya bertindak mencari padanan yang sesuai dengan kehendak pembaca sasaran. 

Sekiranya padanan itu sukar dicari, dia perlu bertindak positif dengan mencari kaedah-kaedah tertentu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Apa yang diharapkan ialah hasil terjemahan seharusnya tidak berbau terjemahan apabila dibaca tetapi seolah-olah ditulis terus ke dalam bahasa sasaran.

Sunday, May 5, 2013

Jenis Terjemahan

Salam alaik.

Kali ni saya ingin membincangkan tentang jenis-jenis terjemahan.Terdapat dua jenis terjemahan iaitu terjemahan lisan dan tulisan.


Ciri-ciri Terjemahan Tulisan:

  • Dilakukan secara bertulis.
  • Penterjemah masih berkesempatan membaiki kesilapan terjemah yang dilakukan.
  • Kefasihan berbicara tidak menjadi syarat yang mutlak.
  • Penguasaan bahasa sumber & bahasa sasaran yang pasif pun tidak menjadi hambatan untuk menjadi penterjemah tulisan yang baik.

Senang kata, terjemahan tulisan ni biasanya buku la.Sebagai pelajar bidang pengajian Islam,kami sememangnya tidak akan lari daripada menggunakan buku-buku terjemahan khususnya kitab-kitab yang muktabar.(nampak sangat tak berapa kuasai bahasa Arab!).Antaranya,:

Sirah Nabawiyah karya Ibnu Hisyam dalam bahasa Arab

TADAA! Sirah Nabawiyah karya Ibnu Hisyam yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Thursday, April 4, 2013

Kamus oh Kamus!

Salam alaik!

Kamus ibarat teman rapat bagi para penterjemah.Sebagai pelajar yang mempelajari cara-cara menterjemah ini,kamus memang perlu dibawa ke mana-mana..hehe..Macam-macam jenis kamus yang ada di pasaran.Jom kita tengok!


                 
Kamus ni memang antara kamus yang popular dimiliki pelajar sekolah yang mengambil subjek bahasa Arab sehinggalah peringkat pelajar universiti.Kelebihan kamus ini ialah mempunyai kosa kata Melayu-Arab dan Arab-Melayu yang memudahkan pelajar dan kami tak perlu bawa dua kamus! Tapi,kelemahan ada juga iaitu terdapat sesetengah perkataan bahasa Arab yang perlu diterjemahkan ke bahasa Melayu tiada dalam kamus ini.























Kenal tak dua-dua gambar di atas ini? Ini ialah kamus al-marbawi.Nak tahu siapa itu Idris al-Marbawi? Boleh lah tengok kat sini. Kamus ini juga agak popular dalam kalangan pelajar kerana kosa kata Arab yang banyak terdapat di dalam kamus ini.




Kamus ini ialah .المعجم الوسيط  Kamus ini ialah kamus ekabahasa iaitu kamus Arab-Arab.Perkataan bahasa Arab diterangkan juga maknanya dalam bahasa Arab.Sekarang, kebanyakan kami masih cuba untuk 'mesra' dengan penggunaan kamus ini.(gara-gara maknanya juga dalam bahasa Arab)



Kamus ni pulak namanya معجم الطلاب. Kamus ini hanya memuatkan Arab-Melayu.




Akhir sekali,kamus Arab-Melayu Dewan.Kenapa namanya sedemikian? Ini kerana kamus ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.Setakat ini,kamus inilah paling tebal dan memuatkan paling banyak kosa kata Arab-Melayu yang pernah aku temui.

Kesimpulannya, jadikan kamus teman setia anda!

Sekadar perkongsian,
Siti Fatimah Wahidah.


  

                                             

Friday, March 8, 2013

Apa itu Terjemah?

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian..

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini,blog ini dihasilkan bertujuan memenuhi kehendak tugasan subjek Terjemahan Arab-Melayu-Arab 1.Sebelum kita pergi jauh dalam subjek ini,perlu kita ketahui apa maksud 'terjemah'.Bila dah faham definisi @ takrif @ maksud,barulah senang faham ye tak!

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat-memindahkan (karangan dll) drpd suatu bahasa kpd bahasa yg lain, mengalihbahasakan:.Daripada perkataan terjemah ini,terbitlah perkataan 'penterjemahan', 'penterjemah'  dan 'menterjemahkan'.

Dalam bahasa Arab juga menggunakan perkataan yang sebutannya serupa iaitu "ترجم" atau 'tarjama, yutarjimu, tarjamah”. Ini merupakan salah satu contoh perkataan bahasa Melayu yang dipinjam daripada bahasa Arab.

Sementara itu dalam Mu،jam al-mustalahat al- ،Arabiyyah fi al-lughah wa al-adab (1984:94) mentakrifkan terjemahan sebagai:

 إعادة كتابة موضوع معيّن بلغة غير اللغة التي كُتِبَ بها أصلا 
(menulis semula sesuatu perkara / topik dengan bahasa yang bukan bahasa asalnya). 

Sebagai khulasahnya,maksud terjemah ialah memindahkan apa-apa teks atau yang seumpama dengannya daripada suatu bahasa kepada bahasa yang lain.

Persoalannya di sini,kenapa perlu belajar ilmu terjemahan ini? Di sini,saya berikan satu analogi di mana berlaku satu keadaan apabila dua orang yang mahu berkomunikasi tetapi hanya tahu bahasa masing-masing sahaja.Contohnya,si A yang hanya tahu berbahasa Melayu dan si B yang hanya tahu berbahasa Arab.Jika wujud pula si C yang tahu kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab,maka si C boleh membantu menterjemahkan komunikasi si A dan si B tadi.

Kesimpulannya di sini,ilmu terjemahan ini penting bagi memudahkan komunikasi sesama manusia di atas muka bumi Allah ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).



Sebuah coretan,
Siti Fatimah Wahidah